WELCOME TO TWOM SITE

"DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI"
YA ALLAH, BIMBINGLAH AKU UNTUK MENJADI HAMBA YANG REDHA, HAMBA YANG TAAT, HAMBA YANG SABAR DAN HAMBA YANG SOLEH.

Friday, October 14, 2011

6 Jenis Wanita Mudah Ditipu Lelaki

1. Wanita yang terlalu mudah mempercayai lelaki

Sudah sayang, jadi apa saja yang lelaki/pasangan katakan, kepercayaan adalah 100 peratus. Bukan kena percaya pasangan separuh atau tidak sepenuhnya tetapi jangan mudah percaya membuta-tuli dan menerima apa saja tanpa menggunakan akal fikiran yang waras.
Contoh mudah: Pasangan anda berkerja sebagai seorang kerani dan gajinya sebanyak RM1,000 sebulan bersih. Anda pula memang tahu status kewangan dan cara perbelanjaannya. Dia ada banyak tanggungjawab, bil untuk dijelaskan setiap bulan dan sebagainya. Kira gajinya cukup-cukup saja.
Satu hari, dia belikan anda cincin emas berharga RM700. Anda tanya, mana dapat duit, dia kata lama menyimpan untuk memberi anda kejutan. Boleh terima.

Bila anda tengok pakaiannya pula, semuanya berjenama. Dia mula berbelanja sakan dan untuk anda pun, macam-macam barang dia belikan. Anda tanya lagi, mana dapat duit? Dia jawab, ada berniaga dengan kawan. Anda terus percaya.

Ingat! Lelaki yang berterus-terang dan jujur dengan pasangannya akan menyatakan, menjelaskan dengan selengkapnya apa yang ditanya atau diragui pasangannya. Dia tidak akan menyembunyikan apa pun kerana baginya, wanita yang disayanginya bukan saja tempat berkasih, malah tempat berkongsi apa saja. Lagi pun, nak rahsia apa, bukan dengan orang lain?

Jadi, jika anda berasa ragu, tanya pasangan anda, jangan tunggu, jangan simpan. Cuma pastikan anda bertanya kepada dia pada masa dan keadaan yang sesuai. Percaya sepenuhnya atau sebarangan boleh meletakkan anda dalam bahaya.

2. Wanita yang `terdesak’ untuk berkahwin

Usia yang semakin lanjut membuatkan ramai wanita yang belum berpasangan risau akan status diri.

Walaupun pada zaman yang semakin canggih ini, wanita berkerjaya lewat berkahwin adalah perkara biasa, namun majoriti wanita yang semakin meningkat usianya risau jika masih belum mempunyai pasangan hidup.

Risau usia semakin meningkat, ditambah pula dengan tekanan daripada ibu bapa, pandangan masyarakat, dan juga kerisauan terhadap peluang untuk mendapatkan cahaya mata yang semakin kurang jika berkahwin lambat.

Dalam keadaan seperti ini, kadangkala mereka boleh `terlepas pandang’ mengenai sikap, kualiti dan peribadi lelaki yang dipilihnya itu.

Wanita yang berkahwin lewat pada zaman ini pula kebanyakannya berkerjaya, secara tidak langsung bermakna mereka mempunyai tahap kewangan yang stabil. Ini memungkinkan wanita begini menjadi mangsa `buaya profesional’, yang sentiasa mencari peluang untuk mengambil kesempatan ke atas wanita seperti ini. Kalau anda wanita seperti ini, ingat...biar lambat, asal selamat!

3. Wanita `sosial’

Wanita yang sosial, suka pada hiburan malam, berparti, disko, pergaulan bebas dan berpegang pada falsafah `masa muda inilah nak berseronok dan rasa macam-macam’, mereka sebenarnya `mengiklankan’ diri kepada spesies lelaki pemangsa wanita.

Bersosial tanpa batasan adalah antara resipi utama yang menyebabkan ramai wanita dan gadis remaja ditipu (dalam pelbagai aspek) oleh lelaki tidak bertanggungjawab.


4. Wanita yang tidak mementingkan ilmu

Wanita yang mementingkan ilmu dalam konteks percintaan, perkahwinan dan memilih pasangan hidup bukanlah bermaksud wanita yang mempunyai ijazah berjela-jela dari universiti terkenal.

Wanita berilmu dalam konteks ini ialah wanita yang mampu memandu dirinya supaya tidak `terpilih’ lelaki penipu dan berbahaya. Jika dia `terjebak’ sekali pun dengan lelaki penipu/berbahaya, dia tahu apa yang perlu dilakukan atau di mana untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya.

Wanita berilmu juga bermaksud wanita yang tahu haknya sebagai wanita dan isteri. Wanita yang berilmu berani `membetulkan’ keadaan dan mempertahankan haknya apabila perhubungan atau perkahwinannya terganggu atau diganggu sama ada oleh pihak ketiga atau pasangannya sendiri.

Wanita berilmu mampu menjadi pasangan atau isteri yang sentiasa menjadi kebanggaan pasangan atau suami.

5. Wanita yang memandang faktor fizikal sebagai satu ciri utama pada lelaki idamannya

Mudah jatuh cinta dengan lelaki kacak, comel atau macho serta mempunyai susuk tubuh yang menggoda?

Wanita perlu ingat, semakin kacak dan seksi seseorang lelaki itu, semakin usaha perlu digandakan meningkatkan `sistem pertahanan diri’.

Perlu diingat, paras rupa dan susuk tubuh tidak sepatutnya menjadi ciri utama lelaki idaman wanita. Ia seharusnya hanya menjadi ciri bonus yang ada pada lelaki.

6. Wanita yang sabar tidak bertempat

Wanita seperti ini boleh dikategorikan sebagai jenis yang selalu `makan hati berulam jantung’ atau mungkin juga `makan tangan berulam kaki’. Dia didera secara mental dan fizikal oleh pasangan, tidak dihargai, sentiasa diambil kesempatan oleh pasangan atau suaminya, tetapi masih tetap bersama lelaki itu walaupun dia sedar, dia terseksa dan tertekan.

Wanita begini sentiasa berharap pasangannya akan berubah pada satu masa nanti. Tidak salah bersabar tetapi jika kesabaran itu akhirnya membawa mudarat kepada diri sendiri, sesuatu perlu dilakukan.

Terus bersabar walau diperlakukan apa saja oleh lelaki atau pasangan seolah-olah memberi `lesen’ kepada pasangan untuk terus mendera, menipu dan menghina maruah wanita. Ingat kata orang dulu-dulu, 'sabar biarlah bertempat’.

p/s: hati2la dlm memilih pasangan..jgn kerana cinta kita hanyut dalam dosa..wassalam

sumber:mesra.net

No comments: